Suntikan vaksin warga emas bermula minggu depan

0
89
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

PUTRAJAYA – Vaksin Sinovac keluaran China akan diberikan kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 19 April ini

Menteri penyelaras program berkenaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setelah mengambil kira data terkini serta perkembangan amalan penggunaan di negara lain yang menunjukkan vaksin tersebut adalah selamat, berkesan dan stabil untuk diberikan kepada warga emas.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, contoh negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin Sinovac kepada populasi 60 tahun ke atas ialah Turki iaitu lebih 11 juta penerima, Brazil lebih tujuh juta penerima dan Chile lebih tiga juta penerima.

Dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini pada Isnin, Khairy berkata, berdasarkan ujian klinikal di Brazil dan hasil semakan mendapati peratus keberkesanannya adalah 83.7 peratus bagi kes sederhana dan 100 peratus bagi kes-kes tenat.

Dalam pada itu, katanya, bilangan mereka yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 adalah seramai 8.513 juta.

“Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan merekodkan pendaftaran paling tinggi dari segi ratio penduduk, manakala Sabah, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Kedah masih perlahan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Khairy berkata, sejumlah 31,776 janji temu telah dihantar kepada penerima vaksin fasa kedua melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Daripada 31,776 janji temu yang dihantar, 13,218 sudah jawab akan hadir, 343 menjawab mereka tidak hadir, dan 18,215 atau 57 peratus lagi masih belum memberikan pengesahan kehadiran.

“Saya mohon kepada mereka yang telah terima butiran janji temu untuk menjawab sama ada mereka akan hadir atau tidak kerana ini membolehkan kita membuat perancangan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kalau sekiranya kita tidak tahu berapa ramai yang akan datang, mungkin akan berlaku pembaziran vaksin, tidak cukup vaksin dibawa atau vaksin terlebih banyak dibawa ke PPV,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, bagi mereka yang menjawab tidak dapat hadir, tarikh untuk mereka menerima vaksin Covid-19 akan dijadualkan semula dan sekiranya masih enggan hadir, pihaknya akan menyiasat punca keengganan mereka.

Ditanya mengenai perkembangan perolehan vaksin AstraZeneca, Khairy berkata, perkara itu akan diputuskan pada minggu hadapan selepas mesyuarat JKJAV dan laporan daripada kumpulan pakar.

Menurut laporan media, Agensi Ubat-ubatan Eropah dilaporkan mengeluarkan kenyataan kejadian darah beku daripada suntikan AstraZeneca disenaraikan sebagai kesan sampingan jarang berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here