
CYBERJAYA – Sebuah syarikat logistik diarahkan oleh mahkamah untuk menyelesaikan bayaran lebih RM500,000 selepas pekerja mereka tidak membayar tol sewaktu memandu di lebuh raya Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS).
PLUS berkata, pihaknya sebelum ini telah membuat tuntutan terhadap sebuah syarikat logistik melibatkan 19 buah kenderaan milik syarikat berkenaan yang dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu.
“Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa syarikat tersebut telah dipertanggungjawabkan dengan liabiliti vikarius (vicarious liability) bilamana pemandu atau pekerja syarikat terbabit gagal untuk menjelaskan jumlah tol yang telah ditetapkan.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah berikutan rayuan syarikat terbabit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS sebanyak RM518,369.27 dengan kos sebanyak RM100,000 susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya PLUS,” kata PLUS dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak PLUS memandang serius tindakan segelintir pemandu kenderaan yang dengan sengaja mengelak untuk membayar tol.
“PLUS memohon kerjasama semua syarikat logistik dan pemilik kenderaan berat supaya memandang serius perkara ini serta memantau tindakan pemandu atau pekerja mereka.
“Pihak PLUS turut mengenalpasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan berat dan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan perlu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
“Pada masa sama, PLUS juga berkolaborasi dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi membendung kejadian penipuan pembayaran tol di lebuh raya,” katanya.