Tiada kebajikan kakitangan terabai, jangan buat tuduhan palsu – COO Kumpulan Malakat

0
685
Adzhar (kanan) bersama Mohd Fadzil Hashim yang juga Pengasas Malakat mall

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat menafikan kebajikan setiap pekerjanya terabai dan mempunyai alasan mengapa setiap pekerjanya diwajibkan solat berjemaah serta hadir ke ‘team building’ selama tiga hari seperti ditetapkan oleh pihak syarikat.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malakat dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor, syarikat tersebut mempunyai cara bekerja yang perlu dipatuhi oleh setiap pekerjanya seperti juga yang diamalkan di syarikat-syarikat lain di dalam atau luar negara.

Beliau berkata, antaranya setiap pengurusan atasan adalah dimestikan untuk hadir solat berjemaah di Malakat Mall.

“Semua pengurusan atasan dimestikan hadir untuk solat berjemaah di Malakat Mall. Reason, kalau apa yg Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui suruh korang buat korang tak boleh buat, apa jaminan kau akan ikut segala arahan aku?

“Team building selama tiga hari setiap bulan pula, pekerja akan duduk di banglo, makan tanggung, tidur dalam penghawa dingin, gaji dan cuti tidak ditolak. Sudah pastilah team building kami ini lebih kepada mendekatkan diri dengan Allah dan ikut cara Rasulullah. Faham apa itu Islam dan dakwah mengikut para sahabat yg dibimbing oleh maulana yang kami sediakan.

“Bukan buat aktiviti berpeluk lelaki perempuan dalam permainan yang bukan-bukan. Dan program ini hanya untuk pekerja lelaki sahaja,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Sejak kelmarin, media sosial dipenuhi dengan pelbagai tohmahan tidak benar terhadap syarikat milik bumiputera Islam yang memperjuangkan ekosistem ekonomi Islam itu.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam dakwaan itu ialah kebajikan pekerja di Malakat Mall terabai dan pihak syarikat tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiap pekerja lelaki diwajibkan menghadiri team building selama 3 hari di banglo yang diinfakkan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim di Puchong

Mengulas lanjut, katanya, setiap kali azan solat fardu berkumandang semua pekerja dalam pusat beli belah itu diwajibkan berhenti kerja dan menunaikan solat secara berjemaah.

Menyentuh mengenai kebajikan lain, Adzhar berkata, pihak syarikat juga menyediakan tempat tinggal kepada setiap pekerja dan menyediakan makanan yang enak serta berkhasiat setiap hari kepada semua.

Malah, katanya, pihaknya turut membantu pekerja yang mempunyai masalah kewangan dengan menyediakan pinjaman peribadi tanpa perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi.

Dalam pada itu, menyentuh tuduhan liar bahawa Kumpulan Malakat gagal membayar caruman KWSP dan tuntutan kerja lebih masa (OT), Adzhar menjelaskan perkara tersebut bukan disengajakan dan akan dibayar kemudian selepas aliran tunai syarikat kembali pulih ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Kami cuma minta tangguh bayaran OT sehingga aliran tunai syarikat stabil. Untuk KWSP, kalau syarikat tidak bayar, adakah anda ingat kami boleh lepas dengan kerajaan Malaysia?

“Pihak syarikat akan bayar caruman itu termasuk dengan dividen yang ditetapkan oleh KWSP dan denda yang dikenakan kepada kami,” ujarnya.

Malakat Mall Masjid Tanah

Sementara itu, Adzhar turut meluahkan perasaan kecewa apabila terdapat kakitangan yang ditangkap kerana melakukan kesalahan berat menjadi dalang yang memburukkan syarikat dengan pelbagai tohmahan tidak benar.

“Mengenai dakwaan kes kena keluar khuruj 40 hari kalau tak kena berhenti kerja. Kau dengan kawan-kawan kau kena serbu masa ‘stone’ dalam asrama pekerja, kemudian syarikat bagi pilihan sama ada polis ambil tindakan atau kami bela.

“Akhirnya, kami bela. Kami bagi pilihan, sama ada kau keluar 40 hari untuk mengenal Allah SWT dan perbaiki diri atau berhenti.

“Kau merayu nak keluar 40 hari sebab tak nak duduk dalam lokap dan kena penjara sebab bahan bukti ada pada polis. Tiba-tiba kau tak muncul kat banglo. Kau lari, kau cakap kau kena berhenti kerja, gaji tak dapat, OT tak dapat, KWSP tak dapat, wang sara diri tak dapat, hadiah tak dapat dan macam-macam lagi yang tak dapat. Tetapi kamu tak cerita kena tangkap sebab hisap dadah dengan teman wanita kamu,” luahnya.

Menyentuh mengenai tuduhan bahawa gaji cikgu tadika di Brainy Bunch dibayar menggunakan baucar membeli belah, katanya, baucar itu diberikan kepada kakitangan syarikat itu sebagai ‘door gift’ atau hadiah ketika jamuan makan malam yang diadakan di syarikat itu baru-baru ini sebelum tibanya bulan Ramadan.

Selain itu, Adzhar juga menjemput pihak yang masih ragu-ragu dengan jawapan diberikan untuk datang sendiri ke Malakat Mall untuk berjumpa dengannya secara peribadi atau pun menghubunginya di talian 0192688519.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here