Tiada sekatan untuk pihak swasta bawa masuk vaksin Covid-19

0
69
Bekalan vaksin Covid-19 kini mendapat permintaan tinggi oleh banyak negara

CYBERJAYA – Tiada sebarang sekatan dikenakan kepada pihak swasta untuk membawa masuk mana-mana vaksin asalkan ia berdaftar dan diluluskan pengunaannya dalam negara.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pembelian vaksin dari mana-mana pengeluar adalah tertakluk kepada pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan (DCA) dan Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA).

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan perbincangan dengan pengeluar vaksin, KKM mendapati hampir semua pengeluar vaksin hanya membuat pembekalan kepada kerajaan sahaja pasa masa ini.

“Perkara ini adalah disebabkan permintaan yang terlalu tinggi dari seluruh dunia sedangkan kadar pengilangan dan pengeluaran vaksin semasa tidak mampu memenuhi permintaan yang tinggi tersebut.

“Pembelian vaksin dari mana-mana pengeluar adalah tertakluk kepada pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan (DCA) dan Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA).

“Perkara ini adalah prosidur standard bagi semua produk berkaitan dengan ubat sebelum ianya boleh dipasarkan dalam negara. Ini adalah untuk memastikan bahawa bahan yang diluluskan untuk pasaran tempatan adalah selamat, berkesan dan berkualiti serta untuk memastikan bahawa produk yang diluluskan adalah selamat dan berkualiti.

“Oleh tu tiada sekatan ke atas mana-mana pihak swasta untuk membawa masuk mana-mana vaksin asalkan ia berdaftar dan diluluskan pengunaannya dalam negara,” katanya dalam kenyataan bagi merujuk artikel bertajuk “Libatkan Swasta beli vaksin” dalam akhbar Utusan Malaysia semalam.

Menurut KKM, kerajaan juga telah berunding dan memuktamadkan perjanjian dengan syarikat swasta dalam negara seperti Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd(PLSB) bagi membekalkan vaksin Sinovac dari negara China dan juga Solution Biologic Sdn Bhd(SBSB) bagi membekalkan vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat Cansino juga dari negara China.

“Vaksin yang dibawa masuk oleh PLSB telahpun diberi kelulusan bersyarat oleh DCA dan NPRA manakala bagi vaksin yang akan dibawa masuk oleh SBSB pula masih lagi dalam penilaian pihak DCA dan NPRA.

“Kerajaan telahpun membuat pesanan vaksin sehingga 80 peratus dari populasi di Malaysia dan juga telah membuat pesanan tambahan bagi memenuhi keperluan strategic reserved stock memandangkan belum ada lagi laporan akhir kajian post vaccination programme tentang kadar tempoh ketahanan perlindungan vaksin bagi penerima-penerima vaksin.

“Oleh itu, keperluan reserved stok amat penting supaya Malaysia boleh berdaya tahan dalam melalui fasa pandemik yang dijangka akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi,” kata KKM.

Sehubungan itu katanya, tidak berbangkit isu kerajaan memonopoli pembelian vaksin Covid-19 dan tidak melibatkan pihak swasta yang menjadi punca negara ini lambat menerima bekalan vaksin itu termasuk dibuli dan dipermainkan kuasa besar.

“Untuk makluman, sejak pandemik Covid-19 bermula pada awal tahun 2020, pengeluar-pengeluar vaksin telah mula membuat kajian bagi menghasilkan vaksin untuk digunakan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Di Malaysia, KKM telahpun memulakan perbincangan awal bersama pengeluar-pengeluar vaksin bagi mendapatkan akses kepada bekalan vaksin tersebut sebaik sahaja ianya mula dipasarkan secara rasmi kelak.

“Namun, demikian pembangunan sesuatu vaksin perlu melalui proses dan prosedur yang ketat bagi menentukan ianya selamat diambil serta mematuhi kualiti, keberkesanan dan tahap keselamatan yang telah ditetapkan oleh World Health Organisation (WHO),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here