Tidak salah kerajaan beri bantuan khas penjawat awam

0
265
Adnan Mat

CYBERJAYA – Bayaran bantuan khas kewangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh kerajaan kepada penjawat awam tidak sepatutnya dipertikai kerana sudah menjadi tradisi setiap tahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, sekiranya ‘tradisi’ tersebut diteruskan, semua pihak perlu berlapang dada mengenainya.

Beliau memberitahu, pihaknya telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta kerajaan menyalurkan bantuan khas tersebut kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Kerajaan merupakan majikan penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka (penjawat awam) meminta bantuan daripada majikan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Adnan berkata, kerajaan pada setiap tahun memberikan bantuan khusus untuk penjawat awam dan pesara kerajaan bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Sehubungan itu katanya, Cuepacs berpendapat pemberian bantuan kewangan Aidilfitri itu wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam.

Katanya, pemberian bantuan khas kewangan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut dibelanjakan .

“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan akan memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain,” ujarnya.

Selain bantuan kepada kakitangan kerajaan, Cuepacs juga berharap penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri juga diberikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here