Tiga kampung di Besut diisytihar PKPD bermula esok

0
257
Gambar hiasan.

TERENGGANU – Tiga buah kampung di daerah Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula esok sehingga 20 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti tersebut ialah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Mukim Hulu Besut.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku penularan dalam kalangan penduduk di tiga kampung ini dengan kadar kebolehjangkitan juga tinggi.

“Secara kumulatif pihak kementerian itu melaksanakan sebanyak 58 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, enam orang disahkan positif wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam, Ismail berkata sebanyak 95 orang ditahan berbanding 137 individu diberkas kelmarin serta 248 lagi ditahan pada Sabtu lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, seramai 86 dikompaun manakala sembilan lagi direman dengan kes tertinggi iaitu cuba merentas negeri sebanyak 38 kes.

Ujar beliau, itu diikuti empat kesalahan lain iaitu tidak merekod butiran diri (31), aktiviti pusat hiburan (17), tidak memakai pelitup muka (lapan) dan gagal mematuhi jarak fizikal (seorang).

“Mereka dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan 64,307 pemeriksaan melibatkan penugasan sejumlah 3,562 pasukan di seluruh negara dengan kekuatan seramai 15,868 anggota,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here