TLDM atur gerak kapal penyelamat kapal selam bantu operasi SAR Indonesia

0
405
MV MEGA BAKTI

CYBERJAYA – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengatur gerak kapal penyelamat kapal selam TLDM iaitu MV Mega Bakti pagi tadi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam Indonesia, KRI Nanggala yang dilaporkan hilang semalam.

Kementerian Pertahanan, dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, penghantaran kapal tersebut telah dimaklumkan oleh menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri kepada Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menerusi satu panggilan telefon pagi tadi.

Dalam perbualan telefon yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan rasa simpati Malaysia kepada seluruh warga Tentara Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNIAL), Tentara Nasional Indonesia (TNI), Kementerian Pertahanan Republik Indonesia, serta rakyat Indonesia.

Beliau turut memaklumkan, pihak TLDM turut akan mengadakan solat hajat dan memanjatkan doa ke atas keselamatan anak-anak kapal tersebut dan supaya kapal selam itu ditemukan segera.

Kapal MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

Operasi ini adalah yang kedua melibatkan MV Mega Bakti selepas terlibat dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada tahun 2014.

Bagi operasi SAR di Indonesia ini, sebanyak 54 kru yang terdiri dari tujuh pegawai dan anggota TLDM, dan tiga pegawai dan staf perubatan ATM, serta 44 kru MV Mega Bakti terlibat dalam operasi.

Operasi ini diketuai oleh Komander TLDM Mohd. Hairul Fahmy Yob selaku Coordinator Rescue Force (CRF).

Kapal MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu di Sabah dan dijangka tiba di lokasi SAR pada 25 April nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here