Tuduh KKM manipulasi data harian Covid-19 boleh dikenakan tindakan

0
65
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PORT DICKSON- Orang ramai yang membuat tuduhan kononnya Kementerian Kesihatan sengaja memanipulasi data harian kes positif Covid-19 boleh dikenakan tindakan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, oleh itu, orang ramai diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan begitu di media sosial.

Beliau berkata, mereka yang membuat tuduhan demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

“Menguar-uarkan cerita tidak betul boleh diambil tindakan oleh polis. Buat berita palsu dan tidak benar adalah salah dan boleh diambil tindakan.

“Lagipun apa untungnya kepada mereka yang tiba-tiba bercakap dan buat ‘posting’ mengatakan nombor itu tak betul dan sengaja diadakan?.

“Apa untungnya kepada yang buat berita itu?” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD), Pusat Latihan Asas Tentera Darat semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan sesetengah netizen yang menuduh Kementerian Kesihatan sengaja memanipulasi data harian kes positif Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau mengharapkan orang ramai dapat sama-sama membantu tugas Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa untuk menjaga kepentingan semua rakyat di negara ini.

Jelas beliau, tiada sebab untuk memanipulasi data harian kes positif Covid-19 kerana ia diperoleh melalui sistem maklumat dan kesihatan awam daripada setiap negeri pada jam 12 tengah hari setiap hari.

“Jumlah keseluruhannya barulah diumumkan. Kalau dari segi laporan, penggunaan hospital semakin banyak dan penggunaan katil semakin bertambah. Maknanya ramai yang positif,” katanya.

Menurutnya, ia menunjukkan kes positif COVID-19 itu benar-benar berlaku dan tiada alasan KKM mahu memanipulasikan nombor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here