Vaksin AstraZeneca diluluskan kegunaan di Malaysia secara bersyarat

0
68
Vaksin AstraZaneca

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju meluluskan pendaftaran produk vaksin AstraZeneca Solution namun dengan secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana sahaja.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pendaftaran vaksin itu yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau dan menilai data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

“Bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin ini kekal positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, vaksin itu akan dibekalkan melalui fasiliti COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.

Jelasnya, kelulusan EUL bagi vaksin keluaran AstraZeneca-SK Bioscience itu telah diumumkan oleh WHO pada 15 Februari lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here