Vaksin beri perlindungan jangkitan 10 kali ganda

0
66
Ahmad Amzad Hashim

CYBERJAYA – Perbezaan kadar jangkitan melibatkan petugas kesihatan iaitu sebanyak 436 kes sebulan pada gelombang pertama Covid-19 berbanding 40 kes dalam masa sebulan yang lalu menunjukkan pengambilan vaksin dapat menurunkan 10 kali ganda kadar jangkitan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jumlah jangkitan direkodkan jauh lebih tinggi semasa gelombang pertama jikan dibandingkan sekarang iaitu selepas 438,000 petugas kesihatan melengkapkan suntikan kedua vaksin Covid-19.

“Daripada situ, kita dapat lihat sebanyak 99.9 peratus yang menerima dua dos vaksin tidak berlaku jangkitan Covid-19 walaupun mereka setiap hari berdepan dengan pesakit Covid-19.

“Tambahan pula, risiko jangkitan buat masa ini amat tinggi berbanding tahun lalu di mana kes positif dalam tempoh sehari sekitar 2,000 kes berbanding angka puluh dan ratus kes pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod jangkitan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada Februari 2021, sebanyak 4,800 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dalam keadaan kes direkodkan tidak begitu tinggi berbanding hari ini.

“Berdasarkan situasi ini, bilangan kes melibatkan 40 orang petugas kesihatan dijangkiti Covid19 adalah 10 kali ganda lebih rendah berbanding purata jangkitan sebanyak 436 kes dalam tempoh sebulan sebelum divaksin.

“Selain itu, kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan juga menyebut bahawa 40 petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 juga didapati tidak menunjukkan gejala yang teruk,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 40 petugas kesihatan telah dijangkiti Covid-19 selepas mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

Katanya, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 15 April, sebanyak sembilan kes dijangkiti Covid-19 selepas lebih dua minggu menerima dos kedua vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here