Vaksin Covid-19 pertama dikilangkan di Malaysia diluluskan penggunaan

0
217
Dr Noor Hisham

CYBERJAYA – Vaksin pertama Covid-19 yang dikilangkan di Malaysia diluluskan pendaftaran untuk digunakan di negara ini.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated yang dihasilkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) menerusi pengilangan produk pukal kepada produk siap hanya akan digunakan semasa bencana.

“Produk ini merupakan sumber kedua kepada produk CoronaVac yang telah berdaftar dari pengilang Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China.

“Pengilangan fill and finish produk CoronaVac oleh PLS merupakan pencapaian terbaru Malaysia yang selama ini bergantung kepada produk vaksin dan produk plasma yang diimport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berharap dengan perkembangan itu dapat memacu pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan dalam penghasilan produk-produk tersebut.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran produk iaitu Pharmaniaga LifeScience mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

“Ia adalah bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin ini kekal positif,” katanya.

Sementara itu, katanya, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

Katanya, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here