Vaksin: Lebih 400,000 terima dos kedua

0
44

CYBERJAYA – Seramai 439,286 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 695,729 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 1,135,015 dos.

Menerusi satu infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr, Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 98,469 diikuti Kuala Lumpur (78,087), Sarawak (68,608), Johor (65,159) dan Sabah (56,184).

Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor melibatkan 63,160 diikuti Perak (48,802), Sabah (43,268), Kuala Lumpur (38,642) dan Pahang (33,183).

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam adalah sebanyak 8,946,750 atau 36.90 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi membabitkan 2,356,484 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta penerima terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here