[VIDEO] “Hanya untung 40 sen setiap kg, kami nak makan apa?”

0
587

KUALA LUMPUR – Semua peniaga ayam di Pasar Chow Kit didapati menurunkan harga bahan makanan itu selari dengan permulaan tarikh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, hari ini.

Tinjauan Malakat Tribune pagi tadi mendapati, kesemua peniaga itu menjual harga ayam pada harga siling seperti yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM7.90 per kilogram (kg), dan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu.

"HANYA UNTUNG 40 SEN SETIAP KG, KAMI NAK MAKAN APA?"

Isu kenaikan harga ayam bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi jika dilihat kepada trend naik turun harga bahan makanan tersebut, kenaikan ketara akan berlaku saban tahun terutamanya pada bulan puasa, menjelang Hari Raya Aidilfitri, dan Hari Raya Aidil Adha.

“Ini bukan perkara baharu. Kerajaan pun sedar, tetapi kenapa peniaga juga yang seolah-olah terpaksa menjadi mangsa?” kata seorang peniaga yang hanya mahu dikenali dengan nama Bang Mus.

Beliau berkata, harga maksimum yang ditetapkan kali ini agak sukar untuk dipatuhi, kerana mereka selaku peniaga menerima bekalan daripada pemborong pada harga antara RM7.30 hingga RM7.50 bagi setiap kilo.

“Secara minima, keuntungan yang akan diperoleh peniaga hanyalah 40 sen bagi setiap kilo.

“Macam mana kami nak nak bayar segala kos lain termasuk gaji pekerja?” tambah Bang Mus lagi.

Beliau mencadangkan, supaya kerajaan memperhalusi isu kenaikan harga ayam ini pada peringkat pemborong, kerana meletakkan harga siling jualan yang perlu dipatuhi peniaga hanya akan membunuh golongan itu, dan akhirnya merugikan pengguna.

SHMMP Hari Raya Puasa kali ini bermula pada hari ini sehingga 20 Mei iaitu selama sebulan.

Skim ini merupakan salah satu langkah diperkenalkan bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei depan.

Selain ayam standard (segar), 11 lagi barangan yang tersenarai itu membabitkan ayam hidup, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang dan ikan tongkol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here