Wanita dakwa anak dipukul guru sehingga lebam tangan, cedera di dahi dan muka

0
205
Kesan berbirat di bahagian lengan yang didakwa dipukul oleh guru

CYBERJAYA – Seorang wanita mendakwa anaknya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat dipukul oleh seorang guru dengan menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan, semalam.

Menurut wanita itu yang menggunakan nama Puan Eda Ni dalam laman Facebook miliknya, anak lelakinya yang berumur 9 tahun itu didakwa dipukul oleh guru sebuah subjek kerana menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Katanya, dia hanya menyedari perkara itu selepas diberitahu oleh seorang lagi anaknya yang bersekolah di tempat sama ketika mengambil mereka pulang.

“Ya Allah dik hang tahan sakit sungguh kena tibai teruk sampai pembaris besar tu hancur dan lengan hang berbirat-birat sampai bengkak lebam, serpihan pembaris tu kena kat dahi dan muka, yang luka di jari berdarah sebab hang tepis cikgu hang tibai bertalu-talu.

“Walaupun kena macam tu sekali hang tak teriak langsung malahan hang takut nak bagi tahu mama,” katanya dalam satu hantaran semalam.

Dalam pada itu, wanita itu turut melahirkan perasaan terkilan kerana anaknya dipukul sedemikian rupa hanya kerana gagal menyiapkan dua daripada empat soalan subjek bahasa Inggeris.

Pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh seorang wanita berusia 32 tahun berhubung kejadian berkenaan yang berlaku di sebuah sekolah rendah di Kuala Kedah.

Luka dibahagian tangan yang didakwa terjadi ketika pelajar itu cuba menepis pukulan

Menurutnya, laporan dibuat oleh wanita berkenaan pada jam 4.36 petang pada hari tersebut.

“Semasa mengambil anaknya di sekolah pada jam 1 petang, dia mendapati lengan bahagian kiri, jari kiri dan muka sebelah kiri anaknya mengalami kecederaan.

“Mangsa memaklumkan gurunya yang memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak siap kerja sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada malam semalam.

Ahmad Shukri berkata, bagaimanapun kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihaknya dan disiasat di bawah Seksyen Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here