Ya benar, saya memang ‘gila’-Coach Fadzil

0
1913
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berucap ketika majlis pembukaan Malakat Grocer Alam Damai pada Sabtu lalu

CYBERJAYA- Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim tidak kisah jika ada mana-mana pihak atau individu yang beranggapan bahawa beliau seorang yang gila.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, beliau sanggup digelar gila kerana dirinya memang tergila-gilakan usaha untuk membantu ummah.

“Ini kisah benar saya…Ramai orang kata saya gila. Gila sebab buat macam-macam. Ada yang kata saya penunggang agama sebab selalu buat bisnes menggunakan nama Agama.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim ketika berucap semasa majlis perasmian Malakat Express di Desa Setapak, Wangsa Maju

“Saya buat Tadika Montessori Islam, Sekolah Antarabangsa Islam, Bandar Islam, Perkampungan Islam, Pasar Islam dan macam-macam lagi.

“Ya benar, saya memang gila, saya gila sebab saya yakin kita boleh keluarkan masyarakat kita daripada RIBA. Saya gila sebab saya yakin kita boleh ambil alih kuasa ekonomi rakyat dari tangan syarikat asing!

“Saya gila sebab saya tidak pernah menunggu modal ada untuk buat apa-apa. Saya gila sebab tidak pernah terikat dengan teori ekonomi kapitalis. Saya gila sebab nak capai Zero Asnaf tahun 2030!

“Saya gila sebab nak bantu 1,000,000 orang mendapat pendapatan minima RM10,000 sebulan pada tahun 2030! Saya gila sebab ambil alih mall mati, mall tempat jin ‘lepak’.

Antara pelanggan yang membeli barangan dapur di Malakat Grocer.

“Saya gila sebab bila ramai tutup kedai, kurangkan kos dan kecilkan operasi, saya lancarkan kedai demi kedai baru hampir setiap minggu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Mohd Fadzil, beliau sebenarnya boleh sahaja memilih untuk menjadi seperti mereka yang sudah kaya, duduk sorang-sorang mengira kekayaan dan sesekali membantu yang susah. 

“Di Malaysia ada lebih kurang satu peratus orang kita yang mempunyai kekayaan bersih bernilai RM100 Juta. Kalau kita darabkan dengan jumlah 20 juta penduduk Islam, ada lebih 200 RIBU yang benar-benar kaya.

“Kenapa mereka tidak membantu seperti Bangsa lain? Kenapa saya tak berusaha untuk menyatu bersama mereka? Sebenarnya, saya dah usaha macam-macam berjumpa dengan orang-orang kaya ini. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bersama Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim ketika meninjau barangan yang dijual di Malakat Grocer. -MT/FARID JANUDIN

“Belum lagi dapat berjumpa dengan yang benar-benar ingin menyatu usaha. Banyak mereka yang baik tetapi tidak mahu keluar dari zon selesa dan mengambil risiko besar membantu saudara seagama.

“Mereka selesa dengan berzakat, sadaqah bulan puasa, menunaikan Umrah setiap kali Ramadhan dan membantu sekali sekala,” katanya.

Selain itu katanya, ramai juga ‘Influencer’ yang mempunyai jutaan pengikut pun lebih selesa untuk menjaga pengikut mereka tanpa mahu bertindak lebih drastik menyelamatkan Ummah. 

“Ramai sudah saya usaha ajak mereka bersama tetapi masih belum berjaya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) bersama Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim (kanan) melihat daging segar yang dijual di Malakat Grocer selepas majlis perasmian Halal Blockchain Network di Malakat Mall.

“Banyak persoalannya, adakah di antara mereka yang sanggup letak wang tunai lebih RM20 juta demi membina ekonomi Islam yang sebenar tanpa apa-apa jaminan.

“Adakah antara mereka sanggup bekerja dan membimbing pasukan masing-masing 365 hari dengan keluar dari zon selesa dan mengambil risiko demi risiko?

“Saya bukanlah seorang yang baik. Terlalu banyak dosa dan kesilapan lalu. Tetapi saya benar-benar ingin menggunakan apa sahaja peluang yang Allah beri untuk membantu Ummah di Nusantara ini mencapai kejayaan mengamalkan Agama yang sempurna. Berusaha berjaya di Akhirah dan dapat kejayaan di Dunia,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau berusaha mewujudkan bi’ah (persekitaran) dan mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya dengan taat kepada Allah, ikut cara Rasulullah SAW berpandu jalan Sahabat dan Ulama’.

Penasihat Yayasan Al-Jenderami, Sheikh Mohd Hafidz Selamat (tengah) melihat kasut jenama Jojo Shoes sambil diiringi Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (kiri) ketika sesi lawatan Ahli Lembaga Yayasan Al-Jenderami ke Malakat Mall.

“Tahun 2020 tahun yang paling mencabar untuk semua. Tetapi Allah jualah yang lebih mengetahui perancanganNya. Tahun 2020 menyaksikan Kumpulan Malakat membina dan melancarkan lebih 30 Jenama yang bertaraf antarabangsa.

“Fikir Risau Ummat menjadikan semua jenama Kumpulan Malakat terbina dan Allah menghantar pasukan yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan.

“Kini lebih 1,800 rakan seusaha bernaung dibawah kumpulan syarikat Coach Fadzil Global Ventures Sdn Bhd meliputi lebih 100 cawangan di Malaysia, Singapora, Indonesia dan GAZA,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Fadzil berkata, kerja ‘gila’ terbaharu yang dibawakannya ialah belanja runcit tetapi dapat hak guna tanah Eco Resort percuma.

“Saya menyeru kepada semua untuk kita satukan Risau Fikir Ummat dengan bertindak menyatukan pembelian runcit kita di Malakat Grocer. Kami tawarkan Tanah PERCUMA di resort Agro yang sangat cantik. Lebih lima Air Terjun dikawasan yang hanya 30 min dari pusat bandar Kuala Lumpur.

“Ayuh dapatkan plot tanah percuma anda dan keluarga anda! Tempah plot keluarga dengan hanya belanja runcit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here