[VIDEO] YADIM sasar RM50 juta kutipan infaq untuk dakwah

0
112
Dr. Zulkifli Mohamad  al-Bakri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Program Penjanaan Dana Infaq YADIM bersama Mobility One Sdn. Bhd di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mensasarkan kutipan RM50 juta setahun melalui Program Penjanaan Dana Infaq bagi tujuan pembangunan dan gerakan dakwah di negara ini.

Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, program dengan kerjasama syarikat bumiputera, Mobility One Sdn. Bhd, itu bertujuan menyediakan platform yang lebih efisien dan strategik untuk membantu masyarakat melaksanakan infaq.

Beliau berkata, kemudahan yang dijangka diperkenalkan dalam tempoh tiga bulan lagi itu menawarkan tiga kategori tabung infaq iaitu Infaq Dakwah, Infaq Kebajikan dan Infaq Bantuan Pendidikan.

“Melalui program ini, orang ramai boleh membuat pilihan untuk melaksanakan infaq sama ada melalui kaedah bayaran di premis perniagaan, portal pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik dan juga melalui aplikasi digital.

“Diharapkan pelancaran program ini akan dapat menggandakan jumlah dana infaq yang dikumpul YADIM untuk menggerakkan program dakwah di seluruh negara.

“Saya merayu kepada masyarakat awam terutama kepada pencinta dakwah untuk menyokong usaha ini,’’ katanya pada majlis Menandatangani Perjanjian Program Penjanaan Dana Infaq YADIM bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mobility One Sdn. Bhd, Datuk Hussian @ Rizal A. Rahman hari ini.

YADIM Lancar Program Penjanaan Dana Infaq
Nasruddin Hassan

Majlis disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad  al-Bakri.

Nasruddin berkata, jumlah RM50 juta setahun itu adalah anggaran peruntukan yang diperlukan pihaknya untuk mengerakkan aktiviti dakwah disamping menampung kos pengurusan dan pentadbiran yang turut mendapat peruntukan kerajaan.

Katanya, pada masa kini kutipan infaq YADIM adalah sekitar RM20 juta setahun.

Hussian @ Rizal A. Rahman

Hussian ketika ditemui pemberita berkata, kerjasama dengan YADIM itu diharap dapat membantu agensi berkenaan melancarkan lagi proses kutipan dana infaq yang lebih mudah dilaksanakan secara digital.

Katanya, Mobility One merupakan sebuah syarikat teknologi maklumat yang berpengalaman dalam menyediakan perkhidmatan pembayaran secara digital dan tersenarai di Bursa London.

“Kami sudah bertapak sejak 15 tahun lalu dengan menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk membuat bayaran dengan menaik taraf kaedah pembayaran konvensial kepada platform digital.

“Di negara ini, kami telah terlibat dengan institusi perbankan utama, agensi kerajaan dan syarikat swasta,’’ katanya. 

Maklumat lanjut mengenai program boleh diperolehi menerusi talian pegawai bertanggungjawab 010-8485677 (Salasiah Arshad), 012-2312202 (Md Zan Saari) dan 0183874265 (Norsalmah Md Noordin). 

Sementara itu, Dr. Zulkifli dalam ucapannya memuji kerjasama antara YADIM dengan Mobility One dan mengharapkan usaha itu akan diteruskan untuk memperkasakan program dakwah di negara ini. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here