YGMB perkenal Skim Emas, hadiah istimewa buat warga pendidik

0
247
YGMB memperkenalkan skim baharu yang dikenali sebagai Skim Emas dengan kerjasama Takaful Ikhlas Berhad

PUTRAJAYA – Berita gembira buat para guru apabila Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyediakan ‘hadiah’ istimewa buat warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Ke-50  pada tahun ini.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, hadiah itu berupa satu skim baharu yang dikenali sebagai Skim Emas yang diwujudkan khas kepada warga pendidik dengan pelbagai keistimewaan.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam

Aminudin berkata, skim yang disifatkan sebagai amat bermakna dan bermanfaat besar kepada warga pendidik itu dijayakan dengan kerjasama rakan strategik YGMB iaitu Takaful Ikhlas Berhad (Takaful Ikhlas).

“Skim ini lain daripada yang lain kerana jangka hayat perlindungan sehingga berumur 80 tahun. Warga pendidik yang berumur sehingga 64 tahun boleh mendaftar di bawah skim ini, jika sudah bersara pun masih boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelancaran Skim Emas kerjasama antara YGMB dengan Takaful Ikhlas yang diadakan di sini hari ini.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam menyaksikan majlis menandatangani MoU antara YGMB dan Takaful Ikhlas Berhad hari ini

Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Mohammad Yong Salleh.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Berhad, Mohd Jafni Abd Jalil.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat (kanan) dan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Berhad, Mohd Jafni Abd Jalil (kiri)

Sementara itu, Wan Munadi ketika berucap dalam majlis yang sama berkata, faktor utama Skim Emas diperkenalkan ialah bagi memastikan tiada seorang pun warga pendidik yang terlepas peluang menyertai YGMB.

“Skim YGMB yang sedia ada iaitu Skim 18 mempunyai had umur untuk 55 tahun ke bawah sahaja. Jadi, sebahagian besar 30 hingga 40 peratus guru-guru yang berumur 55 tahun ke atas terlepas peluang untuk menjadi ahli.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat

“Sekarang YGMB buka peluang kepada semua peringkat untuk menjadi ahli. Pengenalan skim ini juga bersesuaian dengan keadaan semasa dalam norma baharu ketika pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi kepada warga pendidik yang berisiko. 

“Rekod baik YGMB dengan Takaful Ikhlas juga telah memberi kemudahan kepada warga pendidik. Lebih mengembirakan, Skim Emas ini tidak terhad kepada warga pendidik yang masih berkhidmat sahaja,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat (kanan) dan Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Berhad, Mohd Jafni Abd Jalil (kiri)

Menurut Wan Munadi, warga pendidik yang telah bersara juga masih berpeluang untuk menyertai YGMB dengan jangka hayat perlindungan sehingga berumur 80 tahun dengan nilai premium bulanan di bawah RM35.

“Secara lebih tepat, Skim Emas dibuka penyertaannya kepada mereka berumur sehingga umur 64 tahun dan apa yang lebih menarik ialah, mereka yang mendaftar untuk skim ini tidak perlu melampirkan apa-apa rekod atau laporan pemeriksaan kesihatan.

“Oleh sebab itu, YGMB menyifatkan pengenalan Skim Emas ini sebagai hadiah terbesar buat warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Ke-50 tahun ini. Pelbagai manfaat tersedia kepada warga pendidik yang mendaftar dengan skim ini. 

“Antara manfaat kebajikan kepada ahli Skim Emas ialah Khairat Kematian, Khairat Kematian Pasangan, Khairat Kematian Anak, Keilatan Kekal, Keilatan Kekal Separa, Elaun Hospital dan juga Penyakit Kritikal,” katanya

Antara manfaat buat warga pendidik dalam Skim Emas

Wan Munadi berkata, manfaat atau nilai perlindungan melalui Skim Emas adalah lebih dua kali ganda berbanding Skim 18. Oleh sebab itu, YGMB bersedia memberi peluang kepada 120,000 ahli sedia ada di seluruh negara untuk bertukar kepada skim baharu ini.

“Skim Emas juga disifatkan sebagai satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh warga pendidik tidak kira kepada yang baharu menjadi warga pendidik, sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara dalam sektor pendidikan ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Skim Emas tersebut akan diperkenalkan secara rasmi dalam majlis Sambutan Hari Guru Ke-50 yang akan diadakan pada penghujung Mei depan di Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here