YGMB seiring dengan KPM, bela nasib guru dan mantapkan profesion keguruan

0
47
Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan antara inisiatif yang wujudkan kembali hasil sokongan YGMB.

KOTA BHARU – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) akan terus memainkan peranan dalam memartabatkan profesion keguruan serta memastikan kebajikan warga pendidik di negara ini terus terbela.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam memastikan setiap agenda itu dapat dilaksanakan.

Datuk Wan Munadi Wan Mamat ketika menjadi juri Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan

Terbaharu katanya, YGMB telah menjalinkan kerjasama strategik dengan KPM dalam penganjuran program Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 bersempena sambutan hari guru pada tahun ini.

“Program Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 ini telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam majlis yang diadakan di Kota Bharu pada 28 Mac lalu.

“Kerjasama dengan KPM ini merupakan sebahagian komitmen YGMB dalam usaha penyediaan platform atau wadah bagi meningkatkan tahap profesionalisme keguruan di negara ini,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin melancarkan Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021

Selain itu katanya, YGMB juga telah menjadi tulang belakang kepada penganjuran Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan pada hari sama pelancaran gerakan massa.

“Pertandingan bahas ini diadakan semula pada tahun ini selepas lapan tahun tidak dianjurkan, YGMB tampil selaku penaja utama bagi menambah ‘seri’ pertandingan dan Insya-Allah acara ini akan dijadikan acara tahunan,” katanya.

Pahang muncul juara Pertandingan Bahas Guru Piala Pusingan YGMB Peringkat Kebangsaan

Selain itu katanya, YGMB juga telah menganjurkan Seminar Guru Merak dengan kerjasama Yayasan Pesona yang diterajui oleh Datuk Aznil Nawawi bagi meningkat profesiolanisme perguruan.

“Melalui seminar ini, para guru diajar oleh Aznil sendiri selaku Ikon Pembelajaran Abad Ke-21 tentang kaedah-kaedah untuk mempelbagaikan kaedah PdPc selain teknik-teknik kawalan suara dan berdepan kamera,” katanya.

Menurut Wan Munadi, profesion keguruan ketika ini berada pada tahap yang agak mencabar terutamanya apabila pandemik Covid-19 melanda negara dan memberi kesan kepada sektor pendidikan.

“Dalam keadaan norma baharu ketika ini, guru-guru kita perlu membiasakan diri selain mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan bagi memastikan tiada anak didik tercicir.

“Boleh dikatakan, para guru sentiasa berkorban untuk memastikan kemenjadian murid. YGMB selaku pertubuhan yang berteraskan warga pendidik akan memastikan, nasib para guru sentiasa terbela.

Terima Kasih Cikgu

“Sebenarnya, nasib guru juga sering diperjudikan apabila mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan undang-undang akibat perkara remeh. Jadi, YGMB menerusi skim sedia ada bersedia membantu.

“Apabila menjadi ahli YGMB, kita menyediakan pelbagai manfaat seperti bantuan guaman, bantuan perubatan, penyakit kritikal dan terbaharu bayaran khas sekiranya guru dijangkiti Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Wan Munadi juga menyeru kepada warga pendidik baharu agar segera menjadi ahli YGMB kerana pelbagai manfaat disediakan dengan yuran keahlian hanya serendah RM28 sebulan.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang menjaga atau menguruskan hal ehwal kebajikan guru, kita dapati ramai guru pada usia muda yang terkena dengan penyakit kritikal sehingga membawa maut.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menandatangani plak di ruang pameran YGMB

“Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menasihati para guru muda untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan meskipun jadual harian dipenuhi dengan bebanan kerja yang tidak pernah habis,” katanya.

Justeru itu, Wan Munadi berharap dengan pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 dapat meletakkan YGMB selaku badan yang dapat membela nasib guru dan mendapat tempat dihati warga pendidik.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pendidikan dalam sidang akhbarnya selepas pelancaran berkata, Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 dilancarkan sebagai tanda permulaan sambutan hari guru 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin

“Program Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 dilancarkan sebagai permulan sambutan hari guru peringkat kebangsaan, saya juga hari ini lancarkan tema hari guru 2021 ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ iaitu tema yang sama seperti tahun lalu.

“Tahun lalu merupakan tahun yang sukar buat sektor pendidikan, guru-guru terpaksa memainkan peranan yang besar meneruskan PdP menerusi ruang-ruang yang ada. Sama juga pada tahun ini, tetapi sekolah dibuka secara berperingkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here