1 kes baharu varian India dikesan di Labuan manakala 12 kes varian Afrika dikesan di 5 negeri

0
320
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Satu kes baharu melibatkan varian India yang menjangkiti rakyat Malaysia dilaporkan dikesan di Labuan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut dikesan ialah 12 kes baharu yang dijangkiti varian Afrika Selatan di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Johor.

Beliau berkata, pengesanan itu dibuat hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel Covid-19 dari 17 Mei sehingga kelmarin.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian Afrika Selatan B.1.351 adalah sebanyak 78 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak enam kes.

“Varian India dikesan melibatkan seorang
warganegara Malaysia yang dikesan positif Covid-19 dengan varian Indian B.1.617.2.

“Kes merupakan kontak rapat kepada warganegara India yang sama-sama menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan pada 23 April lalu.

“Warganegara India tersebut telah dikesan positif Covid-19 sewaktu dalam tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pesakit itu mempunyai gejala pada 3 Mei lalu dan menjalani ujian RTK-Ag pada hari yang sama, seterusnya dikesan positif RT-PCR pada keesokannya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada memandangkan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti.

“Seperti yang telah diketahui, varian baharu ini mempunyai kadar kebolehjangkitan Covid-19 dan kematian yang lebih tinggi.

“Sehubungan itu, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, meningkatkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here