
BAITULMAQDIS – Kira-kira 100,000 umat Islam Palestin menunaikan solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid al-Aqsa di sini, pagi tadi waktu tempatan.
Bagaimapun Aidilfitri yang disambut hari ini berbeza apabila ratusan ribu umat Islam di sini turut melakukan perhimpunan dengan bernyanyi dan berteriak supaya Allah memberikan kemenangan kepada Gaza sambil mengibarkan bendera Palestin.
Memetik laporan media tempatan, sejak semalam, pertembungan antara penduduk Arab dan Yahudi kian memuncak di Tebing Barat.
Dalam pada itu, dua tentera rejim Zionis cedera dalam satu serangan di wilayah Samarian berhampiran Nablus.

Menurut laporan media Palestin, penyerang tersebut yang membawa pisau dan menembak ke arah tentera tersebut
kemudiannya ditembak mati oleh pasukan keselamatan rejim Zionis.
Sementara itu, sebanyak 37 orang yang rata-ratanya penduduk Arab ditahan oleh polis rejim semalam kerana didakwa kononnya melakukan kekacauan, membaling batu dan melakukan kemusnahan.
Dan sekurang-kurangnya 26 penduduk Palestin cedera dalam pertembungan yang berlaku di timur Baitulmaqdis, kerana terkena peluru getah dan gas pemedih mata selepas mereka mempertahankan diri dengan membaling batu ke arah pasukan keselamatan rejim.