268,000 vaksin Astra Zeneca habis ditempah dalam tempoh 3 jam sahaja

0
92
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Hanya dalam tempoh 3 jam sahaja, sebanyak 268,000 vaksin Astra Zeneca yang dibuka tempahan untuk orang ramai habis ditempah.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, tempahan itu yang mula dibuka pada pukul 12 tengah hari tadi mendapat permintaan menggalakkan.

“Semua vaksin Astra Zeneca habis ditempah. Saya memohon maaf pada mereka yang menghadapi masalah ketika proses pendaftaran,” ciapnya dalam laman Twitter miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, mereka yang berminat untuk menerima vaksin tersebut masih boleh mendaftar dengan mengisi di ruangan disediakan.

Katanya, nama baharu yang didaftarkan itu akan diletakkan dalam senarai menunggu.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca secara suka rela itu dibuka bermula jam 12 tengah hari melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di pautan www.vaksincovid.gov.my.

Pemberian imunisasi itu akan bermula pada 5 Mei ini di Pusat Pemberian Vaksin yang ditetapkan kerajaan.

Pada 24 April lalu, Malaysia menerima sebanyak 268,800 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here