3 ekor lembu ‘sold out’ dalam masa 3 jam

0
288
Peniaga memotong daging untuk dijual kepada orang ramai sempena persiapan menjelang hari raya Aidilfitri di Malakat Grocer, Malakat Mall.

CYBERJAYA – Orang ramai membanjiri pusat beli belah Malakat Mall di sini seawal pukul 10 pagi hari ini untuk mendapatkan bekalan daging segar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut Rabu ini.

Tinjauan Malakat Tribune hari ini mendapati pelanggan beratur dalam barisan yang agak panjang di samping mematuhi penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) lain yang ditetapkan.

Pengurus Bahagian Jualan Daging Segar Malakat Grocer, Hassan Basri Mohd Azaddin berkata, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya tiga ekor lembu setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Bagaimanapun katanya, memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baharu sahaja diumumkan, permintaan terhadap daging segar meningkat berkali ganda.

“Seperti juga tahun lalu, kami sediakan 3 ekor lembu setiap hari untuk jualan beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Tetapi sebab PKP, ramai datang sebaik sahaja kami mula beroperasi,” katanya.

Hassan Basri Mohd Azaddin melapah daging lembu segar yang dibawa masuk setiap hari di Malakat Grocer.

Menurut Hassan Basri, setiap hari bekalan 3 ekor lembu pada minggu terakhir Ramadan biasanya habis dalam masa 3 hingga 4 jam kerana sambutan yang sangat tinggi.

“Setiap seekor lembu membekalkan kira-kira 150 kilogram (kg) hingga 200 kg daging, jadi dalam sejam atau lebih skit dah habis seekor.

“Untuk pelanggan yang datang petang, bergantung kepada nasib mereka ada masa bekalan daging ditambah semula,” ujar beliau.

Beliau berkata, daging lembu yang dibekalkan di Malakat Grocer diperolehi daripada penternak tempatan dan disembelih di rumah penyembelihan yang diperakui pihak beruasa veterinar.

Menurut Hassan Basri, harga bagi sekilogram daging hari ini adalah RM34 manakala daging batang pinang dijual pada harga RM42.

Khairul Azman Zainuddin

Pelanggan, Khairul Azman Zainuddin, 43, berkata, walaupun terpaksa beratur selama lebih sejam, beliau memilih Malakat Mall sebagai tempat untuk mendapatkan bekalan daging kerana selesa dengan persekitaran pusat beli-belah itu.

“Beratur kat mana-mana pun kena beratur pada musim sekarang, tapi di sini saya selesa beratur dalam mall yang tidak terlalu sesak, bersih dan selesa.

“Mulanya panik sebab risau bekalan daging tiba-tiba habis bila sampai giliran saya. Tapi alhamdulillah, masih banyak stok yang ada dan pekerja pun ada beritahu kepada pelanggan,” katanya.

Namun apa yang lebih penting katanya adalah keyakinan pada status halal atau sumber daging yang dijual di pusat beli belah itu.

“Kalau membeli daging saya memang memilih daging yang segar, dan saya cukup yakin dengan cara pengendalian bekalan daging di sini jika dibandingkan dengan pasar raya utama yang lain,” katanya.

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membeli daging sempena persiapan menjelang hari raya Aidilfitri di Malakat Grocer, Malakat Mall.
Syed Hanafi Syed Abdullah

Sementara itu, Syed Hanafi Syed Abdullah, berkata, sebagai salah seorang daripada pelanggan tetap Malakat Mall, beliau amat berpuas hati dengan kualiti dan harga yang ditawarkan oleh pusat beli belah itu.

“Hari ini saya datang untuk membeli 2 kilogram daging batang pinang. Alhamdulillah semuanya mudah di sini, bayangkan beratur sambil duduk di kerusi dengan selesa dan tenang,” katanya,” kata bapa kepada penyanyi popular Elly Mazlein itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here