3 kes baharu varian Covid-19 dari India dikesan dalam negara

0
164
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga lagi kes baharu jangkitan Covid-19 varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) yang melibatkan rakyat bukan warganegara Malaysia di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut dikesan ialah empat kes varian South African B.1.351 yang telah dikesan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mutasi yang berbahaya itu dikesan menerusi survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sepuluh sampel Covid-19 dari 10 Mei sehingga 14 Mei lalu.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 66 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak lima kes.

“Sebanyak tiga kes baharu melibatkan bukan warganegara dengan varian Indian B.1.617.2 telah dikesan di Malaysia. Sebanyak dua kes telah dikesan melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan satu kes dikesan melalui saringan bergejala.

“Kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) yang telah dikesan di negara adalah sebanyak lima kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia telah melanjutkan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC dalam komuniti sejak 28 April lalu dan mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari negara India sejak 7 Mei lalu berikutan penularan varian VOC yang semakin membimbangkan.

Katanya lagi, KKM juga akan meneruskan pemantapan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk survelan epidemik, ujian saringan Covid-19 yang strategik, melakukan pengesanan kontak dan melakukan langkah-langkah kesihatan awam bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar terus berwaspada dan sentiasa mengamalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh KKM.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here