30 individu dikompaun RM45,000 kerana berkumpul sambut hari raya

0
425
Gambar ihsan polis

JOHOR BAHRU – Sebanyak 30 individu dikompaun RM45,000 dalam tiga serbuan berasingan kerana berkumpul beramai-ramai untuk menyambut hari raya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain berkata, kompaun itu dikeluarkan dalam tiga serbuan berasingan.

Mohd. Padzli berkata,  dua serbuan dibuat di sebuah apartment di Jalan Tanjung Puteri dan satu serbuan di sebuah apartment di Taman Jaya Putra.

“Serbuan dibuat berdarkan mendapat maklumat daripada orang awam. Dalam serbuan itu, pasukan Task Force dan anggota Unit Risikan Sempadan (URS) Balai Polis Sentral, Johor Bahru Selatan telah berjaya menahan seramai 19 lelaki dan 11 perempuan berumur di antara 16 hingga 29 tahun.

“Mereka dipercayai menyewa apartment tersebut selama beberapa hari untuk berkumpul sempena hari raya. Mereka didapati berkumpul di ruang tamu rumah tanpa penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

“Semua yang ditahan dikenakan kompaun RM1,500 seorang di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 kerana melanggar syarat (PKP) dan tiada penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Padzli, orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal di tempat awam.

“Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP dan orang ramai khususnya remaja diminta untuk menghentikan semua aktiviti berkumpulan agar rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here