500 warga Kementerian Wanita terima sumbangan Aidilfitri daripada Kumpulan Malakat

0
74
Datuk Seri Rina Harun menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan daripada Kumpulan Malakat

PUTRAJAYA – Jika sebelum ini kakitangan daripada Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sering menyampaikan sumbangan kepada pihak yang memerlukan, kali ini Kumpulan Malakat melakukan kelainan dengan menyantuni penjawat awam daripada golongan B40 di kementerian itu dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Abdul Salam Zulkarnain, untuk program julung kali yang diadakan itu, sebanyak 500 warga kementerian itu menerima bantuan berupa barangan keperluan harian termasuk kuih raya.

“Secara kebetulan program ini tidak dirancang, kami bercadang hendak berikan bantuan barangan keperluan dan ketika itu kami cuba hubungi Datuk Seri Rina Mohd Harun dan beliau memberitahu kami hari ini juga terdapat satu program di kementerian tersebut.

“Dalam tempoh 24 jam sahaja, kami di Malakat Mall dan Malakat Grocer telah bertungkus lumus untuk menyiapkan barangan untuk 500 penerima di kementerian ini. Uniknya program kali ini sebelum ini kita banyak berikan sumbangan kepada orang luar tapi seperti kata menteri sebenarnya ramai orang dalam sendiri pun memerlukan bantuan.

Abdul Salam Zulkarnain

“Oleh itu, untuk kali ini kita berikan bantuan ini kepada warga kementerian untuk mereka menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Sementara itu, Rina yang hadir menyampaikan sumbangan tersebut kepada penerima mengucapkan terima kasih di atas inisiatif tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama dengan Kumpulan Malakat tidak akan terhad kepada sumbangan berbentuk barangan bantuan sahaja malah akan diperluaskan lagi ke bidang pendidikan dan lain-lain.

“Selain majlis sumbangan ini, kita juga melancarkan gerobok rezeki di KWPKM untuk mereka yang memerlukan dan agihan bubur lambuk. Dan pada masa sama, saya mengucapkan terima kasih kepada Malakat Mall atas sumbangan yang diberikan.

“Usaha kita mewujudkan gerobok rezeki ini ialah untuk membantu kakitangan kita, ketika kakitangan KPWKM membantu masyarakat di luar sana sebenarnya masih ada warga kita terutamanya golongan B40 dan ke bawah turut memerlukan bantuan.

“Jadi ini merupakan sumbangan warga kementerian ini sendiri untuk mereka yang benar-benar memerlukan termasuk masyarakat di luar yang datang untuk membuat aduan di sini atau sebagainya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here