70,000 pelajar IPT pulang ke kampung

0
40
Dr Noraini Ahmad

CYBERJAYA – Kira-kira 70,000 pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara akan pulang ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kebenaran pergerakan itu dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

Beliau berkata, pergerakan kumpulan pelajar itu akan dibuat berpandukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menerusi empat kaedah ditetapkan iaitu menggunakan bas yang diselaras IPT, kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau menggunakan penerbangan bagi pelajar Sabah.

“Saya nasihat setiap pelajar agar mematuhi SOP sepanjang berada di kampung halaman bersama keluarga dengan memakai pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya memetik laporan Bernama.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali pelajar dari Sarawak.

Pergerakan secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Noraini berkata, kemasukan semula pelajar ke kampus selepas tempoh itu perlu menjalani ujian saringan terutama mereka yang dari kawasan berisiko tinggi.

“Sekiranya bergejala dan mencatat bacaan suhu badan tinggi, mereka akan diasingkan dan tidak dibenar pulang ke kampus. Bagi mereka yang tidak bergejala, mereka boleh kembali ke kampus dan meneruskan sesi pengajian,” katanya.

Sementara itu 7,500 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pulang ke kediaman masing-masing di seluruh negara untuk fasa pertama malam ini dengan menaiki 19 bas manakala 350 pelajar menaiki 13 bas esok (fasa kedua) dan fasa terakhir pada Ahad seramai 32 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here