Anggota polis tertembak rakan ketika bergurau didakwa di mahkamah, hadapi hukuman mati

0
865
Anggota polis berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret di Sibu hari ini

SIBU – Seorang anggota polis yang bergurau sehingga tertembak rakan sejawatnya pada 6 Mei lepas, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada Mohamad Nur Alif Mazlan, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli.

Memetik laporan Borneo Post, mengikut pertuduhan, Mohamad Nur Alif didakwa membunuh Norhalim Tumiran, 24, pada 6 Mei 2021, antara jam 5.45 petang hingga 6.30 petang di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rex Heng sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Mohamad Nur Alif direman tujuh hari sehingga 14 Mei, sebelum disambung lima hari lagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, tiga anggota polis ditahan berhubung kes kematian rakan mereka di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9.

Mangsa yang berasal dari Pahang dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), maut dengan kesan tembakan di bahagian atas telinga kanan.

Mangsa baharu sahaja bertugas sebulan setengah di Sibu selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat.
 
Sementara itu, dua lagi anggota yang ditahan sebelum ini dibebaskan dan dijadikan saksi pihak pendakwa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here