Bayi 11 bulan maut terjatuh dari tingkat 3

0
42

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas terjatuh daripada unit kediaman di tingkat 3 Projek Perumahan Rakyat Sri Aman di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bayi berkenaan dipercayai terjatuh dari tingkap rumah ketika sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil yang terletak bersebelahan tingkap.

Eng Lai berkata, dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, katil yang telah ditolak ke tepi tingkap ketika kerja-kerja mengemas rumah dilakukan.

“Siasatan mendapati tingkap di dalam bilik tersebut tidak mempunyai pagar dan katil diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan.

“Pengadu memaklumkan katil itu telah dirapatkan ke tingkap untuk mengemas bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Eng Lai berkata, ibu mangsa yang menyedari kejadian itu telah membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Selayang bagaimanapun bayi itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, mayat dihantar ke Unit Forensik hospital itu untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here