Bekalan ayam cukup, peniaga diingatkan jangan naikkan harga sesuka hati

0
39
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Bekalan ayam di pasaran ketika ini mencukupi walaupun kilang memproses ayam di Masjid Tanah, Melaka ditutup akibat penularan Covid-19.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan bekalan ayam di pasaran.

Azman berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan keberadaan dan kestabilan bekalan, termasuk ayam.

“Kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu ini untuk menaikkan harga yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, kilang pemprosesan ayam yang membekalkan ayam proses itu diarahkan tutup hingga 4 Jun susulan pengesanan 175 kes jangkitan Covid-19.

Mengulas lanjut, Azman berkata ayam-ayam yang diproses di kilang ini diedarkan melalui pasar raya besar, pasar raya, restoran dan premis runcit terpilih sahaja.

“Tiada bekalan ayam proses dan produk berasaskan ayam diedarkan dari syarikat ini kepada pasar-pasar basah.

“Bagi meminimumkan kesan penutupan operasi ini, pihak syarikat akan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada kilang-kilang di bawah rangkaian syarikat yang sama bagi menjamin kesinambungan produk dalam pasaran,” ujarnya.

Justeru itu, semua pihak disarankan mengamalkan pendekatan pengguna bijak dan bersedia menyalurkan maklumat berkaitan salahlakuh pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP melalui pelbagai saluran.

Antara saluran aduan termasuk Portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan Whatsapp 019-279 4317.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here