BPR fasa 2 diagih 7 Mei

0
72
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

CYBERJAYA -Fasa kedua Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) membabitkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion akan diagihkan kepada penerima bermula 7 Mei ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, fasa dua BPR itu akan memanfaatkan seramai 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas (bujang dan tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.

“Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai tarikh itu melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.

“Jika dahulunya penerima daripada kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran U150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima.

“Peningkatan peruntukan adalah berikutan kadar bayaran kepada penerima. Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini.

Tengku Zafrul berkata, dengan adanya proses rayuan itu, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disemak semula Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, fasa satu pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibayar kepada 8.4 juta penerima bermula 24 Februari sehingga 1 April lalu.

Secara keseluruhan katanya, fasa satu dan dua BPR membabitkan komitmen kewangan berjumlah RM4.68 bilion yang memberi manfaat kepada 8.4 juta penerima.

“Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 juga telah pun dibayar mulai 21 Januari lalu.

“Oleh itu, setakat ini, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here