Buat laporan jika ada jiran balik kampung tanpa kebenaran

0
308
Gambar Hiasan

KANGAR – Maklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu di kawasan kejiranan yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, maklumat itu diperlukan bagi membolehkan polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri 2021.

Surina berkata, Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan.

“Ia termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama hari ini.

Sementara itu, Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

“Kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan saya berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata, jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here