Ceroboh pos kawalan batalion di Gerik, bekas tentera maut ditembak

0
143
Seorang lelaki maut selepas cuba menyerang anggota bertugas di Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan

GERIK – Seorang lelaki bersenjatakan parang yang cuba menceroboh masuk kawasan pos kawalan Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan, di sini, mati ditembak ketika bergelut dengan pengawal di pintu hadapan kem.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian pukul 6.45 petang semalam itu, lelaki berusia 35 tahun itu yang juga bekas tentera diberi amaran terlebih dahulu oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pintu hadapan kem berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit bagaimanapun tidak menghiraukan amaran itu, malah bertindak agresif menyerang anggota tentera pengawal dengan senjata yang dibawa dan berlaku pergelutan sebelum ditembak.

“Dalam pergelutan itu, anggota tentera pengawal pos melepaskan tembakan dan mengenai lelaki terbabit.

“Tentera kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan menghantar lelaki terbabit ke Hospital Gerik, untuk mendapatkan rawatan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokasi kejadian seorang lelaki menyerang pos kawalan Batalion ke-4 Gerik

Mior Faridalathrash berkata, lelaki terbabit yang pernah berkhidmat dalam pasukan tentera pada 2003 ditamatkan perkhidmatannya pada 2013 kerana masalah mental.

Katanya, pihak IPD Gerik juga ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan dan merampas beberapa barangan berkaitan kes itu.

“Pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat yang dibuat pada hari ini di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan polis berharap tiada sebarang spekulasi daripada orang ramai sehingga boleh menjejaskan siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here