Covid-19 boleh sebabkan mati pucuk?

0
146

MIAMI – Satu kajian mendapati, virus Covid-19 boleh hidup di dalam zakar lelaki selama enam bulan selepas seseorang mendapat jangkitan sekali gus meningkatkan risiko mati pucuk.

Kajian yang dilakukan oleh saintis daripada Program Urologi Reproduktif Sekolah Miller di Miami, Amerika Syarikat (AS) itu mendapati, keadaan itu adalah berikutan kemampuan virus SARS-CoV-2 menyempitkan salur darah.

Keadaan yang dikenali sebagai disfungsi endotel itu menyebabkan saluran darah mengecil dan gagal berfungsi secara normal, dan lebih menyerang kawasan paru-paru pesakit.

Namun, menurut pengarang kajian tersebut, Ranjith Ramasamy, kumpulan penyelidiknya menunjukkan bahawa Covid-19 turut boleh menyebabkan disfungsi endotel dalam sistem organ di luar paru-paru dan buah pinggang.

“Disfungsi endotel dikesan akibat jangkitan Covid-19 yang menyerang sel endotel dan mempengaruhi banyak organ, termasuk zakar,” kata Ramasamy dalam laporan portal The Sun.

Pakar-pakar telah mengkaji sampel tisu dua lelaki dengan sejarah Covid-19, dan dua lelaki lain yang tidak mempunyai sejarah jangkitan.

Salah seorang lelaki yang mempunyai virus itu dimasukkan ke hospital, manakala yang seorang lagi hanya mengalami gejala ringan.

Pesakit berusia 65 dan 71 tahun itu masing-masing telah dijangkiti virus Covid-19 hampir enam serta lapan bulan sebelum kajian dijalankan, dan kedua-duanya dilaporkan mempunyai masalah serius untuk mendapatkan ereksi.

Pakar-pakar mendapati, virus itu masih ada di tisu kedua-dua lelaki yang telah dijangkiti dan mereka mempunyai bukti disfungsi endotel, manakala fungsi ereksi zakar kedua-dua lelaki yang tidak dijangkiti adalah normal.

“Lelaki yang mengalami jangkitan Covid-19 perlu sedar bahawa disfungsi ereksi boleh menjadi kesan sampingan buruk akibat virus, dan mereka perlu menemui doktor jika mengalami gejala kegagalan ereksi zakar,” tegas Ramasamy.

Kajian ini juga boleh menjadi langkah pertama untuk memahami kemungkinan kesan virus terhadap kesuburan lelaki dan adakah Covid-19 dapat menular secara seksual.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here