Covid-19: Sultan Johor zahir kebimbangan kes makin kritikal

0
59

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan kebimbangan melihat peningkatan kes Covid-19 yang semakin kritikal termasuk di negeri pentadbirannya.

Sehubungan itu baginda bertitah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat dan berkesan wajar dilaksanakan sekiranya tindakan itu diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

Titah baginda, orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. “Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah baginda dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim berkata, keadaan semasa Covid-19 di negara ini masih tidak menunjukkan tanda-tanda wabak itu akan reda bahkan semakin meningkat ketika kes disangka mula reda.

“Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Rakyat tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

“Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

“Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, walaupun sistem penjagaan kesihatan negara diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

Titah baginda, jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.

“Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

“Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin.

“Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor.

“Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here