Dr Noor Hisham luah kebimbangan kes Covid-19 terus meningkat, katil ICU penuh

0
85
Jumlah pesakit di ICU terus meningkat sehingga dibimbangi sistem kesihatan negara lumpuh

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan menjangkakan kes harian Covid-19 akan terus meningkat terutamanya pada minggu hadapan terutamanya ketika musim perayaan tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia juga disebabkan liputan vaksinasi yang belum lagi meluas serta kepadatan penduduk di sesetengah kawasan.

Katanya, situasi itu akan meningkatkan lagi kemungkinan hospital terus berdepan dengan peningkatan kes khususnya kes dengan gejala serius melibatkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai lain-lain penyakit.

“Bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat. Pada hari ini sahaja, negara mencatat 4,498 kes baharu,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Seorang pesakit diberikan rawatan kecemasan

Mengulas lanjut, katanya, setakat hari ini negara merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes ke unit rawatan rapi (ICU), iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 295 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Pada masa sama, katanya, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara dan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.

“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus.

“Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU.

“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here