Dr. Nur: Heliza Helmi dan pemilik IG diminta tampil berikan maklumat

0
1434
Heliza Helmi

CYBERJAYA – Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Nur Heliza Helmi diminta untuk tampil mengemukakan maklumat berkenaan seorang warganegara Malaysia dikenali sebagai ‘Dr. Nur’ yang didakwa ditahan oleh pihak Israel.

Kementerian Luar dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan, turut diminta untuk tampil memberikan maklumat ialah seorang lagi pemilik akaun Instagram @iesya_toh, Iesya Toh.

Menurut kementerian itu, pihaknya mengambil maklum perkongsian tular di media sosial berhubung penahanan ‘Dr. Nur’ namun tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpanya.

“Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama ‘Dr. Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Hal ini sekali gus menyulitkan usaha perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada individu tersebut,” katanya.

Kementerian itu memaklumkan, pihaknya juga telah cuba menghubungi dua individu yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bernama Dr. Aida dan Dr. Shafiq bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr. Nur’, namun kedua-duanya gagal dihubungi.

“Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah penting untuk pihak kementerian mencari jalan penyelesaian untuk membantu ‘Dr. Nur’,” katanya.

Selain itu, kementerian terbabit  turut memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan pihak-pihak berkuasa di negara ini untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr. Nur’.

“Maklumat berkenaan laporan yang dikemukakan orang awam termasuk tangkap layar posting-posting berhubung insiden yang menimpa ‘Dr. Nur’ telah dikumpul dan dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kementerian Luar sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara.

“Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya warganegara Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr. Nur’ turut digesa untuk tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel [email protected],” kata kementerian terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan seorang pegawai perubatan Malaysia dikenali sebagai ‘Dr Nur’ ditahan tentera Israel dan berada dalam keadaan kritikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here