Dua wanita dikompaun RM5,000 ketika beli emas di daerah lain

0
359
Dua wanita dikompaun selepas merentas daerah ke Kompleks Bukit Jambut untuk membeli emas hari ini

GEORGETOWN – Dua wanita dikompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang selepas didapati merentas daerah untuk membeli barangan kemas dalam pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Bukit Jambul di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka yang datang dari daerah Barat Daya juga memberi alasan untuk membaiki telefon bimbit di sebuah premis di kompleks berkenaan.

Katanya, alasan itu tidak berasas kerana mereka tidak sepatutnya merentas daerah bagi membeli barangan bukan keperluan pada masa ini.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah lebih setahun dikuatkuasakan dan orang ramai sepatutnya menjalani kehidupan norma baharu dengan mengambil tahu sempadan daerah masing-masing,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan beberapa agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, tinjauan pematuhan terhadap premis di kompleks berkenaan adalah memuaskan dan mengikut kepada SOP yang ditetapkan.

“Semua pekerja di kompleks ini mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis masing-masing, memakai pelitup muka dan mengambil suhu.

“Tujuan pemeriksaan ini bukan bagi mencari kesalahan semata-mata, tetapi lebih kepada mahu mendidik serta memastikan orang ramai berdisiplin dalam menjalani norma baharu,” katanya.

Menurut Soffian, sebanyak 95 kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan sejak PKP dikuatkuasakan di Timur Laut, 10 Mei lalu hingga semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here