
VIENNA – Pasangan beregu muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Haikal Nazri berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Austria selepas mengenepikan cabaran pasangan lebih berpengalaman Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis sebentar tadi.
Gandingan muda negara itu hanya mengambil masa selama 39 minit untuk menundukkan cabaran pasangan yang berada di rangking kelima dunia itu dengan keputusan 21-17, 21-15.
Kemenangan ini juga merupakan kejuaraan sulung yang berjaya diraih oleh pemain yang berasal dari Terengganu dan Kelantan itu sehingga diberi julukan sebagai gandingan ‘Patatimo’.

Wan Ariff-Haikal baru dinaikkan pangkat untuk menyertai skuad senior pada Mac lalu selepas berjaya menampilkan aksi cemerlang ketika berada dalam skuad beregu remaja negara.
Sementara itu dalam saingan akhir beregu campuran pula, pasangan Choong Hon Jian-Toh Ee Wei terus mempamerkan prestasi konsisten di sepanjang kejohanan selepas mengejutkan pilihan pertama kejohanan, William Villeger-Sharone Bauer 16-21, 21-9, 21-19 dalam masa 46 minit.-MT
