GLC tidak patut diterajui oleh Ahli Parlimen

0
55
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Ahli Parlimen atau wakil rakyat sewajarnya tidak dilantik sebagai peneraju di mana-mana syarikat milik kerajaan (GLC).

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya telah lama menyuarakan perkara tersebut.

“Pada tahun yang lalu iaitu pada awal pembentukan kerajaan PN, saya bersama rakan-rakan gabungan NGO-NGO Islam dan Melayu yang lain telah membuat bantahan tentang perlantikan Ahli Parlimen sebagai peneraju GLC-GLC di Malaysia.

“Antara yang disuarakan ialah isu integriti dalam pengurusan GLC di mana memang selama ini sudah terbukti yang Ahli Parlimen pasti akan ada kepentingan tertentu jika menjadi penerajunya.

“Lebih-lebih lagi pada waktu sekarang, kerajaan sedang sangat rapuh di mana Ahli-ahli Parlimen masing-masing sedang goyah dan terlalu banyak berpolitik berlaku. Memang umum mengetahui Ahli Parlimen kerajaan masing-masing sedang terlalu sibuk berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Aminudin, seorang peneraju GLC sepatutnya menumpukan sepenuh jiwa dan tenaganya pada portfolionya itu, kerana ianya adalah amanah rakyat.

Selain itu katanya, pengerusi GLC yang dilantik bukan hanya perlu kompeten tetapi mesti mampu memainkan peranan pembangunan negara melalui peranan GLC dlm sektor strategik dan masa hadapan.

“Kita memang sangat berharap agar amalan melantik wakil rakyat sebagai pengerusi GLC dapat diakhiri satu hari nanti.

“Apakah mungkin kerajaan yang bakal dibentuk pasca PRU-15 nanti boleh merealisasikan idea ini? Atau apakah mereka akan terus ulangi ‘tradisi’ yang sama sebegini seolah-olah ekonomi negara adalah mainan? Kita tunggu dan lihat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here