[VIDEO] Hamas letak dua syarat utama sebelum setuju gencatan senjata

0
1925
Hamas memberi amaran untuk menyerang negara haram Israel dengan lebih teruk sekiranya mereka gagal mematuhi syarat gencatan senjata ditetapkan

GAZA – Hamas meletakkan dua syarat utama yang perlu dipatuhi oleh rejim Zionis sekiranya mahu gencatan senjata dilakukan sekali gus mengakhiri pertempuran selama 10 hari antara kedua-dua belah.

Menurut anggota biro politik Hamas, Ezzat El-Reshiq, dalam persetujuan itu rejim Zionis tidak dibenarkan mengganggu Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan tidak boleh menghalau penduduk Palestin di Timur Baitulmaqdis yang disifatkan sebagai kawasan ‘red line’.

“Memang benar, pertempuran tamat hari ini tetapi Benjamin Netanyahu dan seluruh dunia perlu tahu kami sentiasa berjaga-jaga dan akan terus meningkatkan keupayaan kami dari sedia ada,” katanya memetik laporan Reuters di Doha hari ini.

Dalam pada itu, sejak pukul 3 pagi tadi penduduk Palestin di Gaza dan Baitulmaqdis meraikan kemenangan mereka ke atas rejim Zionis dengan berarak di jalan raya sambil melaungkan takbir.

Sementara itu, pemimpin nombor dua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya, mengumumkan kemenangan pihaknya ke atas musuh.

“Hari ini kami mengumumkan kemenangan ke atas musuh, setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi yang menangguhkan perayaan (Hari Raya Aidilfitri) kami supaya kami dapat meraikan dua kemenangan sekali gus. Kemenangan di Aidilfitri dan kemenangan ke atas Israel,” katanya seperti dipetik Reuters.

Dalam serangan oleh tentera rejim ke atas Gaza baru-baru ini, turut musnah ialah rumah Al-Hayya yang dibedil dengan peluru berpandu dalam serangan itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here