Hanya 50 jemaah bagi solat Jumaat dan fardu di Johor

0
51
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad

JOHOR BAHRU – Johor membenarkan hanya 50 jemaah menunaikan solat Jumaat serta solat fardu di masjid dan surau Jumaat bermula hari ini.

Bagi solat jemaah di surau, hanya 20 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan solat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin.

Arahan itu turut terpakai bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau sehingga 7 Jun ini atau satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.

“Jumlah tersebut termasuk pegawai, ahli jawatankuasa masjid atau surau bagaimanapun pengurusan masjid dan surau boleh menyediakan ruang solat musafir dengan syarat mesti menyediakan petugas yang memantau jemaah musafir mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sekiranya pengurusan masjid dan surau tidak dapat menyediakan petugas, maka ruang solat itu hendaklah ditutup,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pihak pengurusan perlu memastikan bahawa masjid dan surau Jumaat disanitasi selepas solat Jumaat termasuk alat pembesar suara imam dan bilal.

Menurut kenyataan itu, sekiranya terdapat arahan penutupan masjid dan surau disebabkan kes Covid-19, jemaah hendaklah mendirikan solat fardu di rumah masing-masing dan menggantikan solat Jumaat dengan solat zohor serta tidak dibenarkan solat di masjid atau surau lain.

Sementara itu, bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis membudayakan al-Quran, bacaan Yasin, tahlil dan wirid dengan syarat membawa al-Quran, surah Yasin dan kitab sendiri serta tiada penglibatan jemaah atau jemputan dari pihak luar.

“Bagi kelas Takmir, kelas Al-Quran, kuliah umum dan khas secara fizikal adalah ditangguhkan sementara, sehingga suatu arahan lain dimaklumkan, namun kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan supaya program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan.

“Bilal masjid dan surau Jumaat hendaklah membaca teks SOP yang telah disediakan oleh JAINJ selepas solat sunat Qabliah sebelum imam naik di atas mimbar hari Jumaat,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here