Isu Palestin: Mana suara NGO kemanusian, cauvinis bukan Islam

0
150
Omar Kassim

CYBERJAYA – Sikap membisu wakil parti politik mahupun pertubuhan bukan Islam negara ini berhubung kekejaman rejim pengganas Israel ke atas pejuang Palestin membuktikan perjuangan kelompok itu tidak mahu berpihak kepada Islam.

Mantan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Omar Kassim berkata, pendirian pertubuhan bukan kerajaan atau badan politik berkenaan yang tidak menyatakan suara mereka jelas menunjukkan mereka tidak mahu dikaitkan dengan Islam walaupun isu itu melibatkan isu kemanusiaan.

“Tidak ada kedengaran kenyataan-kenyataan tegas mereka menyokong perjuangan warga Gaza dan Palestin atau mengutuk kekejaman Israel.

“Sebaliknya yang lebih kedengaran ialah penghinaan terhadap Perdana Menteri sendiri apabila Malaysia tegas menyokong perjuangan Palestin,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kebiadaban Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim yang memberi komen negatif berhubung pendirian tegas Malaysia terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Terdahulu, Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor didakwa memuat naik komen di Facebook yang mengkritik Perutusan Khas Mengenai Palestin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam hantaran Facebook beliau – yang sudah dipadam – ADUN DAP itu menyifatkan kenyataan Perdana Menteri yang disampaikan melalui perutusan khas hanya sekadar mahu mengalih perhatian rakyat.

Walhal katanya, Muhyiddin sepatutnya mengutamakan nyawa rakyat Malaysia yang terancam akibat Covid-19.

Meskipun begitu, Omar merakamkan ucapan syabas kepada atlet dan jurulatih sukan negara yang melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan secara dalam talian semalam.

“Syabas buat para atlet dan jurulatih, khususnya yang bukan muslim. Dalam keadaan parti politik dan pertubuhan cauvinis Cina dan India membisu, muncul nama-nama seperti Datuk Nicol Ann David dan Kirtana Ramasamy tampil menyatakan sokongan.

“Kita tertanya-tanya mengapa sokongan terhadap kekejaman Israel sangat sepi di kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia berbanding sokongan padu yang berlaku di Eropah dan di Amerika Syarikat (AS) sendiri.

“Di London semalam dikhabarkan perarakan hampir dua km dengan kehadiran dianggarkan lebih 500,000 orang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here