
PUTRAJAYA – Orang ramai dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diingatkan tidak sesekali ingkar dengan cuba merentas masuk ke Putrajaya untuk aktiviti sosial dan riadah.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali berkata, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar terutama yang menyalahgunakan permit kebenaran rentas daerah untuk urusan rasmi.
Beliau berkata, pemeriksaan dan pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa di premis perniagaan dan kedai makanan untuk memastikan tempat keramaian tiada orang luar.
“Polis Putrajaya terpaksa tegas dan meningkatkan pemantauan dalam melindungi pusat pentadbiran daripada risiko jangkitan Covid-19.
“Ini kerana Putrajaya dikelilingi beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan PKP. Tindakan tegas ini penting memastikan penularan tidak berlaku di Putrajaya,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Menurut Mohd Fadzil, polis Putrajaya hanya menjalankan tanggungjawab dalam mengawal tiada pergerakan bebas kecuali bagi mereka yang mempunyai urusan rasmi, kecemasan dan bekerja.
Dalam pada itu, Mohd Fadzil juga mengingatkan warga Putrajaya mengamalkan kawalan kendiri dan tidak leka dalam pematuhan SOP ketika situasi Covid-19 yang getir melanda negara.
“Cabaran Ibu Pejabat Daerah Putrajaya adalah memastikan kawasan Putrajaya terus kekal zon hijau. Polis memahami perasaan warga Putrajaya yang semakin jemu kerana pergerakan ekonomi dan sosial yang terhad sejak setahun pandemik Covid-19 melanda,” katanya.