Jangan hadir ke PPV jika tiada temu janji

0
87
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Individu yang tidak mempunyai temu janji dinasihatkan supaya tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mengelak kesesakan yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kehadiran di PPV sepatutnya hanya melibatkan mereka yang mendapat notifikasi menerusi aplikasi MySejahtera atau dihubungi petugas pusat terbabit.

Beliau berkata demikian sebagai mengingatkan semua pihak supaya memberi kerjasama untuk sama-sama mencegahkan penularan wabak yang semakin serius ketika ini.

“Saya merayu jangan datang ke PPV sekiranya tidak ada janji temu melalui MySejahtera atau tidak terima panggilan pada hari itu kerana anda tersenarai dalam senarai menunggu.

“Memang betul ada yang menerima janji temu dan tidak datang, tetapi tolong jangan datang tanpa janji temu,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di sini, hari ini.

Khairy berkata, penentuan siapa penerima dalam senarai menunggu untuk mengisi tempat penerima yang tidak hadir mengambil vaksin akan dilakukan oleh PPV.

Media sebelum ini melaporkan kehadiran mereka yang tidak mempunyai temu janji ke PPV dengan harapan dapat menggantikan penerima yang tidak hadir untuk suntikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here