Kami hanya minta doa, mesej rakyat Palestin kepada rakyat Malaysia

0
174
Serangan bertalu-talu Israel ke atas Gaza menyebabkan ratusan nyawa terkorban

CYBERJAYA – “Mereka sekarang hanya minta kita doakan keselamatan mereka yang sedang berhadapan serangan dahsyat oleh rejim Zionis,” kata Pengasas Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim yang menerima mesej daripada guru-guru di Brainy Bunch Gaza untuk mendoakan keselamatan mereka.

Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, selain mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, Brainy Bunch juga mempunyai satu cawangan di Gaza, Palestin yang beroperasi secara amal untuk memberikan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak Palestin.

Beliau berkata, sejak Gaza diserang oleh tentera rejim, setiap hari pihaknya menerima mesej daripada tenaga pengajar di Brainy Bunch di Gaza yang memaklumkan perkembangan terkini dan situasi di sana.

“Sekarang ketika kita sedang menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan acara tahunan negara haram, Israel yang melakukan serangan demi serangan terhadap Gaza.

“Di Gaza juga kami mempunyai sebuah sekolah charity atau kebajikan yang mana setiap hari guru kami akan menghantar video dan mesej suara untuk memberitahu keadaan terkini di sana. Mereka tidak minta banyak hanya minta doa daripada umat Islam untuk mendoakan keselamatan mereka.

“Sebab itu, di sini saya mengajak umat Islam semua untuk sama-sama mendoakan keselamatan mereka yang sedang diserang dengan ganas oleh rejim Zionis,” katanya ketika ditemui di Malakat Mall Cyberjaya di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Malakat Toys Warehouse di tingkat dua di sini.

Wajah ceria kanak-kanak Palestin yang belajar di Brainy Bunch Gaza

Sehubungan itu, Coach Fadzil yang juga Pengasas Malakat Mall mengajak semua umat Islam untuk bersama-sama menunaikan solat Subuh secara berjemaah dan membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan penduduk Palestin.

Mengulas lanjut, katanya, pusat perkembangan awal kanak-kanak di Gaza itu yang diasaskan sejak tujuh tahun lalu, sehingga kini mempunyai seramai 13 guru dan kira-kira 150 murid.

Katanya, Brainy Bunch di Gaza menawarkan pendidikan yang berkualiti untuk kanak-kanak di sana dengan secara percuma.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

Sementara itu, Coach Fadzil turut menasihatkan orang ramai yang hendak menderma kepada Palestin untuk berhati-hati berikutan kewujudan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang muncul secara tiba-tiba untuk mengutip sumbangan kepada rakyat Palestin.

“Sebab itu bila ada insiden baharu ini kami agak ‘concern’ kerana muncul banyak NGO baharu yang buat pelbagai jenis kutipan, saya harap buat siasatan terlebih dahulu pada siapa yang kutip derma ini, apa hubungan mereka di Gaza atau Palestin.

“Ada juga yang kata saya sudah call Sheikh Jarrah untuk kepastian, padahl itu nama tempat bukan nama orang. Malah ada yang mengambil kesempatan dengan membuat kutipan atas nama Gaza, jadi saya nasihatkan supaya berhati-hati dan rujuk dengan NGO yang sahih seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim),” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here