Kanak-kanak 2 tahun tercalon ahli termuda Mensa

0
39
Kashe Quest bersama ibunya, Sukhjit Athwal.

LOS ANGELES – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun mencipta rekod apabila menjadi ahli termuda pertubuhan komuniti genius dunia atau Mensa kerana memiliki IQ tahap 146.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, Kashe Quest yang menetap di Los Angeles memiliki daya minda luar biasa termasuk menamakan kesemua 50 negeri di Amerika Syarikat berdasarkan bentuk peta negeri dan lokasinya.

Kashe juga berupaya mentafsir bentuk corak, mengingati seluruh jadual berkala dan kini sedang mempelajari Bahasa Sepanyol dan Punjabi.

Bapanya, Devon Athwal berkata, Kashe sering menunjukkan sifat ingin tahu, cuba memahami cara sesuatu berfungsi dan jika berpeluang mahu mengaplikasikannya sendiri.

Walaupun dikurniakan dengan kelebihan minda, Athwal bagaimanapun mahu anaknya membesar sebagai kanak-kanak normal dan menjalani kehidupan sama dengan yang lain.

Ujian yang dilakukan oleh para penyelidik baru-baru ini mendapati Quest yang berketurunan Amerika Afrika dan India menunjukkan kepintaran pada tahap 146.

Jumlah itu jauh mengatasi tahap kepintaran orang dewasa normal iaitu pada kadar 85 hingga 115.

Ujian IQ Mensa terdiri daripada gabungan bahasa serta teka-teki berdasarkan nombor dan peserta akan diuji dengan soalan yang semakin sukar untuk dijawab.

Manakala Pengarah Eksekutif Mensa AS, Trevor Mitchell menyifatkan pencapaian kanak-kanak itu sebagai satu perkara yang amat menakjubkan.

“Ini adalah satu perkara luar biasa apabila Kashe diiktiraf atas kebijaksanaannya pada usia yang amat muda,” katanya.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak Malaysia berusia tiga tahun yang menetap di United Kingdom (UK), Muhammad Haryz Nadzim terpilih sebagai ahli termuda Mensa UK dengan tahap IQ 142.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here