Kapasiti kesihatan berdepan Covid-19 negara meruncing

0
83
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Trend peningkatan kes Covid-19 yang berterusan akan meletakkan kapasiti kesihatan negara pada tahap kritikal dan boleh memberikan impak negatif kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Itu rumusan yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, kebimbangan itu boleh dilihat pada kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang yang kini mencapai 90 peratus seperti dilaporkan CPRC Kebangsaan.

Katanya, enam buah hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 di Lembah Klang iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang
kini diambang ‘amaran’.

Bahkan beliau mengingatkan ada antara hospital berkenaan kini sudah menghampiri kapasiti 100 peratus bagi kes Covid-19.

Bagaimanapun katanya, Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

“KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

“Keadaan semasa itu menyebabkan pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang terpaksa dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19,” katanya.

Petugas kesihatan di unit ICU hospital rawatan Covid-19. Foto: FB Dr. Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

“Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

“Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini,” katanya.

Petugas kesihatan di unit ICU hospital rawatan Covid-19. Foto: FB Dr. Hisham Abdullah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here