Kapasiti PKRC MAEPS dipertingkat kepada 10,000 pesakit

0
72
Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) akan ditingkatkan kepada 10,000 pesakit ekoran peningkatan kes di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kemampuan PKRC itu kini adalah sekitar 4,000 orang iaitu dari kategori 1 dan 2 manakala 1,000 lagi katil akan ditambah untuk penempatan kategori 3.

Beliau berkata, bagi kategori 4 dan 5, pesakit masih lagi ditempatkan di hospital awam dan swasta.

“Pertambahan kapasiti di MAEPS yang diharap dapat mengurangkan tekanan kemasukan pesakit di hospital awam dan swasta itu antara lain adalah mobilisasi tenaga kerja melalui kerjasama antara agensi.

“Kita juga membina Unit Rawatan Rapi (ICU) Modular di beberapa tempat untuk kurangkan kesesakan di PKRC di MAEP iaitu di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang,” katanya dalam sidang akhbar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, hari ini.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang kini menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1,2 dan 3.

Menurut Dr. Adham, bersediaan bagi menghadapi kemasukan lebih ramai pesakit sedang dilakukan di seluruh negara dengan tumpuan di kawasan kritikal seperti Lembah Klang.

“Kita telah menggerakkan 20 unit ventilator dari Hospital Cyberjaya untuk kegunaan wad ICU di Hospital Sungai Buloh, Klang dan Serdang.

“Kapasiti rawatan di Lembah Klang juga ditingkatkan melalui penempatan pesakit di hospital-hospital pengajar seperti Hospital UiTM di Sungai Buloh dan Puncak Alam, Hospital Pengajar Serdang,” katanya.

Sementara itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan melalui pembinaan hospital lapangan seperti di Kapit, Kelantan dan yang bakal dibina di Pulau Pinang. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here