
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan dengan sikap segelintir pihak yang masih melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah ketika wabak penyakit Covid-19 semakin meningkat.
Dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya, Dr Noor Hisham berkata, tindakan itu boleh mendatangkan bahaya kerana penularan jangkitan virus Covid-19 mungkin berlaku di kawasan lain.
Menerusi hantaran itu juga beliau memuat naik dua gambar kesesakan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Gombak.
“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?
Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.
“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.
Pada masa sama, beliau turut merayu supaya membantu sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes Covid-19 tidak terkawal.
“Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.
“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil unit rawatan rapi (ICU) sudah penuh semuanya.
“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” ujarnya.-MT