Kelantan bersedia untuk kemungkinan ‘lockdown’

0
226
Gambar Hiasan

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan bersedia untuk sebarang kemungkinan termasuk pelaksanaan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi berkata, langkah itu tidak mustahil dilaksanakan memandangkan kes Covid-19 di Kelantan dilihat semakin membimbangkan.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan akan diputuskan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob jika benar ‘lockdown’ atau PKP yang lebih ketat akan dilaksanakan tidak lama lagi di negeri Kelantan.

“Ia akan diputuskan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob jika benar PKP yang lebih ketat dilaksanakan tidak lama lagi. Jika ada PKP yang betul-betul, kemungkinan besar ‘lockdown’ akan dilaksanakan.

“Kita akan tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Menteri Besar pada bila-bila masa lebih-lebih lagi dalam keadaan kes Covid-19 di negeri ini masih mencatatkan bilangan tiga angka setiap hari,” katanya seperti yang dilaporkan Kosmo hari ini.

Mumtaz berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat kepada 310 golongan asnaf secara pandu lalu di Peringat malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Mumtaz berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan khas untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Katanya, berdasarkan rekod, rakyat biasa dan peniaga yang terkesan akibat Covid-19 akan dibantu dengan segera.

“Kita telah mengarahkan penghulu di kawasan kampung untuk mengenal pasti mereka yang terkesan ketika ini agar bantuan dapat terus disalurkan.

“Selain itu, semua Exco kerajaan negeri juga telah diarahkan untuk melihat sumbangan daripada portfolio masing-masing melalui peruntukan RM3 juta yang telah diagihkan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai semalam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here